TAWAU: Seorang pekerja kebun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya di sebuah rumah pekerja di Merotai, di sini, pada Januari tahun lalu.
Tertuduh, Binsal Jamil, 33, yang mempunyai lapan anak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.
Binsal didakwa menyebabkan kematian majikannya, Siow Tian Chai, 66, di sebuah rumah pekerja di Jalan Muis Melewar, Merotai, antara jam 1 tengah hari hingga 4.29 petang, pada 5 Januari 2025.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut boleh dikenakan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.
Berdasarkan fakta kes, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa marah tertuduh selepas mangsa tidak membeli susu formula untuk anak bongsunya seperti yang diminta.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, manakala Binsal diwakili peguam Jhesseny P. Kang dan Raymond Guok. – DAKWAT RAKYAT POST
