LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan merampas dua kilogram dadah disyaki syabu dalam operasi Op Tapis di kawasan tempat letak kereta Darvel Bay Plaza, Jalan Teratai, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbahrin Ismail berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu pada 25 Ogos.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dan rampasan 2,000 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM94,000.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 14 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Dua buah kenderaan iaitu Proton X50 dan Perodua Axia turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati keputusan negatif dadah.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan, modus operandi serta rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat,” katanya.
ACP Dzulbahrin menegaskan BSJND IPD Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
