JOHOR BAHRU: Bersembunyi atas siling gelap dan sempit, selain ada bertempiaran lari ke kawasan perumahan berhampiran.
Itu antara cubaan pekerja warga asing untuk mengelak ditahan ketika blok kedai di Kampung Ungkin Mohsin, di sini digempur Jabatan Imigresen malam tadi.
Bagaimanapun usaha itu sia-sia apabila premis yang dihuni warga asing itu sedia ‘dikepung’ 105 pegawai dan penguat kuasa dalam serbuan kira-kira jam 12.30 malam.
Kira-kira 20 rumah teres berhampiran yang dipercayai disewa pekerja warga asing turut diperiksa.
Pengarah Imigresen Johor, Nor Faizal Rahim berkata 98 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan termasuk 26 wanita membabitkan warga Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia dan Myanmar.
Terdahulu, pihak Imigresen terpaksa memotong jeriji besi dan mengumpil pintu premis selepas pekerja asing berkenaan enggan membuka pintu.
Wartawan yang turut menyertai operasi dimaklumkan warga asing terbabit bekerja di pelbagai premis berhampiran.
PATI berkenaan dipercayai melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959, antaranya memasuki negara ini tanpa dokumen sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas atau permit yang diberikan.
Semua PATI ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Kredit sumber: Berita Harian
