KUNAK: Karnival Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak berakhir dalam suasana penuh meriah menerusi Majlis Malam Nostalgia yang menghimpunkan alumni daripada pelbagai generasi, warga sekolah dan tetamu jemputan, pada Ahad.
Majlis makan malam alumni itu menjadi acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-50 SMK Kunak yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Ogos lalu.
Pengetua SMK Kunak, Selamat Yusuf berkata, pelbagai program disusun sepanjang karnival berkenaan termasuk pameran membabitkan agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pendidikan dan kolej vokasional.
Katanya, penganjuran pameran berkenaan turut menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan masyarakat menerusi agenda Pendidikan Madani.
“Antara perkara yang diketengahkan ialah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin penting dalam menyediakan lebih banyak laluan pendidikan serta peluang kepada anak-anak.
“Penyertaan pelbagai agensi dan institusi ini memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peluang pendidikan dan kemahiran yang tersedia,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Menurut Selamat, penubuhan Persatuan Alumni SMK Kunak kini direalisasikan selepas pendaftarannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Jun 2026.
Beliau berkata, kelulusan tersebut menjadi perkembangan bermakna kepada sekolah, khususnya ketika sambutan Jubli Emas yang memperingati perjalanan SMK Kunak sejak penubuhannya pada 1971.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, sekolah itu telah mendidik dan melahirkan lebih 50,000 pelajar.
Karnival tiga hari itu turut memberi ruang kepada usahawan serta peniaga tempatan mengetengahkan produk masing-masing menerusi gerai makanan, minuman dan barangan tempatan.
Selain itu, pelbagai acara seni dan kebudayaan, persembahan kugiran serta aktiviti sukan dan permainan turut diadakan untuk menarik penyertaan pelajar dan masyarakat luar daripada pelbagai peringkat usia.
Majlis Malam Nostalgia itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Dato Sri Anil Sandhu, yang juga merupakan alumni SMK Kunak.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah, Dr Suharpi Lasuddang; Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman; Pengarah Program Karnival Jubli Emas, Norita Sidek dan Pengerusi Persatuan Alumni SMK Kunak, Ramli Yusof.
Anil berkata, Malam Nostalgia memberikan pengalaman bermakna apabila bekas pelajar daripada pelbagai generasi dapat kembali ke sekolah yang pernah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan mereka.
Menurutnya, pertemuan itu membolehkan alumni mengimbau kembali zaman persekolahan, mengeratkan semula persahabatan dan mengenang jasa para pendidik yang pernah membimbing mereka.
“Sambutan Jubli Emas ini menjadi kesempatan istimewa untuk alumni kembali menjejak tempat yang pernah menjadi medan menimba ilmu, membina persahabatan dan membentuk hala tuju kehidupan.
“Pertemuan malam ini membuktikan perbezaan usia dan jarak masa tidak memutuskan hubungan kekeluargaan yang terjalin antara bekas pelajar dengan sekolah,” katanya.
Beliau berkata, jasa guru dan warga pendidik yang pernah berkhidmat di SMK Kunak akan terus dikenang oleh para alumni.
Anil turut menyifatkan sambutan 50 tahun sekolah itu bukan sebagai penutup kepada sebuah perjalanan, sebaliknya permulaan kepada usaha meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.
“Generasi terdahulu sudah meletakkan asas yang kukuh dan menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk meneruskan legasi tersebut.
“Saya berharap SMK Kunak terus melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, memiliki sahsiah terpuji, jati diri yang kukuh serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru, alumni, jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 SMK Kunak. – DAKWAT RAKYAT POST
