TAWAU: Kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian bundle jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kg Titingan, Esbok Rombengan, Pasar Tawau, awal pagi ini.
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi pada jam 4.51 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kebakaran membabitkan kawasan berkeluasan kira-kira 100 x 120 meter persegi dan kesemua lot kedai berkenaan terbakar 100 peratus.
Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 350 rumah dan lot kedai berhampiran daripada turut musnah.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi membabitkan 16 anggota BBP Tawau dengan bantuan 10 anggota Bomba Komuniti, selain PDRM seramai 10 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sembilan anggota dan SE dua anggota.
Operasi diketuai PBK I Mohd Yahya Abd Fatah.
JBPM Sabah turut memaklumkan lokasi kejadian tidak mempunyai liputan GIRN dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
