LAHAD DATU, 28 Ogos 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah kerana membenarkan akaun bank miliknya digunakan bagi menerima transaksi wang RM92,000 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan.
Lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 28 Ogos 2026 mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Ismail berkata, kes itu bermula selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa ditipu dalam urusan pembekalan solar yang sebenarnya tidak wujud.
Menurutnya, mangsa dipercayai diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai pertanian melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa telah melakukan enam transaksi dengan jumlah keseluruhan RM92,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan laporan berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank berkenaan.
Siasatan mendapati suspek dipercayai telah menyerahkan butiran perbankan dalam talian miliknya kepada sindiket penipuan, menyebabkan akaunnya digunakan dalam urusan transaksi wang terbabit.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Lahad Datu, suspek mengaku bersalah atas pertuduhan kerana tanpa sebab yang sah terlibat secara tidak langsung dalam transaksi wang berjumlah RM92,000 ke dalam akaun miliknya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadapnya.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali, terutama apabila ditawarkan urusan atau perkhidmatan melalui panggilan telefon dan aplikasi komunikasi.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai agar tidak menyerahkan kad ATM atau maklumat perbankan dalam talian kepada mana-mana pihak kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai.
PDRM turut menegaskan pemilik akaun keldai boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau kedua-duanya sekali. – DAKWAT RAKYAT POST
