KUALA LUMPUR: Lebih 150,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) setiap hari sepanjang tempoh cuti Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan.
Susulan jangkaan peningkatan trafik itu, pengendali lebuh raya berkenaan meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi bagi memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna sepanjang tempoh berkenaan.
Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd Naguib Syed Mohd, berkata peningkatan jumlah kenderaan dijangka berlaku berikutan pergerakan orang ramai antara Lembah Klang, Selangor dan Perak termasuk untuk pulang ke kampung, bercuti serta melakukan perjalanan domestik.
Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak, khususnya pada lewat petang hingga malam, bagi mengurangkan kesan kesesakan trafik.
“Lebih penting lagi, sempena Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan, ramai rakyat Malaysia akan menggunakan jalan raya untuk meluangkan masa bersama keluarga serta mengunjungi pelbagai destinasi di seluruh negara.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Oleh itu, rancang perjalanan, dapatkan rehat secukupnya dan jangan sesekali mengabaikan aspek keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan,” katanya.
Bagi menghadapi peningkatan trafik yang dijangka berlaku, WCE akan mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang laluan yang telah dibuka, termasuk menyediakan rondaan lebuh raya selama 24 jam serta liputan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT).
Keadaan trafik juga akan dipantau secara berterusan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden atau gangguan perjalanan.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya digalakkan menggunakan aplikasi WCE untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan laluan serta mengakses maklumat trafik secara masa nyata, termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang lebuh raya.
Bagi pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di sepanjang WCE, mereka boleh menghubungi Talian Informasi WCE di 1700-81-660 yang beroperasi 24 jam sehari.
Kredit sumber: Berita Harian
