LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 61 tahun dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya yang baru berusia 12 tahun tiga bulan ketika kejadian, di Kunak.
Tertuduh membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada Khamis selepas enam saksi pendakwaan selesai dipanggil memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan sehari sebelumnya.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap anak perempuannya di sebuah rumah di Kunak kira-kira jam 11 malam pada Februari tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh menjalani hukuman.
Tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan daripada penjara.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman tersebut dilaksanakan mengikut perintah yang diputuskan. – DAKWAT RAKYAT POST
