PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi medan ujian kritikal yang berupaya mengubah landskap politik Persekutuan sekali gus mengurangkan kebergantungan Putrajaya terhadap sokongan parti politik dari Sabah dan Sarawak.
Penganalisis Politik Akademi Nusantara, Dr Azmi Hassan serta penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Syaza Shukri, berpandangan sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai persefahaman pilihan raya yang kukuh di Melaka, model kerjasama itu berpotensi diperluaskan ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Model kerjasama pilihan raya seumpama itu pernah menyaksikan kedua-dua gabungan berkenaan memenangi 25 daripada 36 kerusi pada PRN Negeri Sembilan dengan BN memperoleh 18 kerusi manakala PN meraih tujuh kerusi.
Namun, Dr Azmi menjelaskan Melaka memberikan cabaran berbeza yang menuntut tolak ansur tinggi.
BN mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021, manakala PN merujuk pencapaian PRU15 apabila memenangi tiga daripada enam kerusi Parlimen di Melaka ketika BN gagal meraih sebarang kerusi.
Cabaran rundingan, pelan B
Ketidaktentuan politik di Melaka bertambah selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa BN kini berpecah mengenai sama ada mahu bekerjasama dengan PN di negeri itu.
Abdul Hadi bagaimanapun menegaskan PN sudah mempunyai ‘Pelan B’ sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Dr Syaza menyifatkan Melaka sebagai penetap rentak rundingan di negeri-negeri lain, namun menegaskan sebarang momentum dari Melaka masih bergantung kepada rundingan di negeri-negeri SG4, di mana PN lebih dominan dan imbangan kekuatannya jauh berbeza.
“Jika kedua-dua gabungan mampu menyelesaikan rundingan di Melaka, ia akan membuka jalan ke tempat lain.
“Malah, unjuran Ilham Centre menunjukkan ‘gelombang biru’ BN-PN mampu memenangi sehingga 122 kerusi Parlimen di Semenanjung sahaja sekali gus membolehkan kerajaan Persekutuan dibentuk tanpa perlu terlalu bergantung kepada blok Sabah dan Sarawak,” kata Dr Azmi.
Pengaruh politik Malaysia Timur
Ketika ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai 23 kerusi Parlimen manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memegang lapan kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 31 kerusi Dewan Rakyat.
Penguasaan ini meletakkan mereka sebagai kingmaker penting sejak PRU15 untuk mendesak autonomi lebih besar.
Antara isu utama yang diperjuangkan termasuk tuntutan supaya Sabah dan Sarawak memegang satu pertiga (74 daripada 222) kerusi Dewan Rakyat berbanding 56 kerusi (kira-kira 25 peratus) ketika ini, serta kawalan sektor minyak dan gas di mana Petros diiktiraf sebagai pengagregat gas domestik Sarawak sementara Petronas mengendalikan eksport LNG.
Namun, Dr Syaza berpandangan kelebihan geopolitik Borneo itu mungkin terhakis sekiranya pakatan BN-PN memperoleh majoriti selesa di Semenanjung.
“Sabah dan Sarawak mungkin berada dalam kedudukan kurang berkuasa berbanding sekarang seperti era dominasi BN sebelum ini di mana pengaruh mereka berkurangan, namun masih memilih berada dalam kerajaan,” katanya.
Sama ada Melaka bakal menjadi penentu peta politik baharu negara atau mengekalkan status quo, segalanya bergantung kepada sejauh mana BN dan PN mampu bertolak ansur menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berakhir Disember ini, sebelum PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.
Kredit sumber: Berita Harian
