KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) membantu mengagihkan bekalan air minum kepada penduduk yang terjejas akibat krisis bekalan air susulan cuaca panas dan kering berpanjangan di Bahagian Betong.
Pembabitan anggota tentera itu dilaksanakan menerusi bantuan kemanusiaan dan logistik bagi membantu penduduk di beberapa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air.
Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembabitan TDM dilaksanakan susulan perbincangan dengan Jawatankuasa Bencana Bahagian Betong, semalam.
Operasi bantuan berkenaan bermula jam 2 petang semalam dan dijadualkan berlangsung sehingga 10 September ini, tertakluk kepada situasi semasa dan keperluan di kawasan terjejas.
Operasi itu memberi tumpuan kepada penghantaran bekalan air kepada penduduk di kampung yang terjejas, khususnya di Kampung Batang Maro, Kabong serta kawasan sekitarnya.
Bagi melaksanakan misi berkenaan, TDM mengatur gerak seorang pegawai dan 14 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Pakit, Sri Aman.
Turut digunakan dalam operasi itu ialah dua pikap Toyota Hilux bagi membantu urusan penghantaran dan pengagihan bekalan air kepada penduduk.
Operasi bantuan itu turut dilaksanakan secara bersepadu dengan beberapa agensi awam, termasuk Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut kenyataan itu, kerjasama erat antara TDM, pihak berkuasa tempatan dan agensi awam mencerminkan pendekatan ‘Whole of Government and Whole of Society (WoGoS)’ dalam memperkukuh penyelarasan serta keupayaan bersama ketika menghadapi situasi bencana.
TDM kekal komited dan sentiasa bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan serta sokongan logistik tambahan sekiranya diperlukan, dengan segala bentuk bantuan akan terus diselaraskan bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan supaya keperluan penduduk terjejas dapat ditangani secara teratur, berkesan dan tepat pada masanya.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 28 Ogos 2026
