KOTA KINABALU, 30 Ogos 2026 – Tuduhan berkaitan rasuah terhadap mana-mana individu tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan yang telah terbukti tanpa sokongan bukti serta proses perundangan yang sewajarnya, kata penganalisis politik bebas, Atan Leecas.
Beliau berkata, tindakan mengaitkan beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk kepimpinan kerajaan negeri, dengan dakwaan skandal rasuah melalui media sosial perlu dilakukan secara bertanggungjawab dan berasaskan fakta.
Kenyataan itu dibuat susulan satu hantaran Mawar Channel yang didakwa mengaitkan beberapa pemimpin serta ADUN GRS dengan dakwaan berkaitan rasuah.
Menurut Atan, sebarang dakwaan jenayah perlu disokong dokumen, fakta dan bukti yang sah sebelum kesimpulan dibuat terhadap seseorang.
“Jika benar wujud kesalahan rasuah, kemukakan dokumen, fakta dan bukti yang sah. Jika benar terdapat siasatan, nyatakan status siasatan secara tepat.
“Jika seseorang telah didakwa, nyatakan pertuduhan sebenar dan sekiranya telah disabitkan, keputusan mahkamah sewajarnya menjadi asas kepada sesuatu kesimpulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kritikan terhadap kerajaan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi dan media mempunyai hak untuk mempersoalkan dasar serta tindakan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan berkenaan perlu disertai tanggungjawab, terutama apabila laporan atau kenyataan menyentuh dakwaan rasuah dan kesalahan jenayah yang boleh memberi kesan terhadap reputasi serta kredibiliti seseorang.
“Kritikan mesti berasaskan fakta, bukan tuduhan liar.
“Lebih-lebih lagi apabila melibatkan tuduhan rasuah dan jenayah yang boleh memberi kesan besar kepada maruah, reputasi dan kredibiliti seseorang,” katanya.
Atan turut mengingatkan supaya perbezaan fahaman politik tidak dijadikan alasan untuk mengaitkan individu tertentu dengan dakwaan jenayah tanpa asas yang jelas.
Menurutnya, rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai maklumat dan bukan sekadar bergantung kepada tajuk yang bersifat sensasi.
“Jika ada bukti salah laku, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa berkaitan.
“Jika pihak berkuasa mendapati terdapat asas untuk tindakan undang-undang, biarlah proses itu berjalan secara telus,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa media sosial tidak seharusnya digunakan untuk mengambil alih fungsi agensi penguat kuasa dan mahkamah dalam menentukan sama ada seseorang bersalah atau sebaliknya.
Atan berkata, prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dihormati, termasuk hak setiap individu untuk melalui proses keadilan yang sewajarnya.
“Saya menolak budaya politik yang cuba menghukum seseorang melalui persepsi sebelum sebarang pembuktian dibuat.
“Saya tidak mempertahankan mana-mana individu daripada proses undang-undang sekiranya benar terdapat bukti kesalahan. Tetapi saya mempertahankan prinsip keadilan, kebenaran dan hak seseorang daripada dihukum hanya melalui propaganda politik,” katanya.
Beliau turut menyeru pihak yang membuat dakwaan supaya mengemukakan bukti sekiranya benar mempunyai maklumat berkaitan salah laku.
“Jika ada bukti, tampilkan bukti. Jika ada kes, jelaskan status kes. Jika ada pertuduhan, nyatakan pertuduhan.
“Jika tiada semua itu, jangan membina naratif seolah-olah seseorang telah melakukan jenayah,” katanya.
Atan berkata, penggunaan istilah berkaitan rasuah secara sembarangan juga boleh menimbulkan persepsi bahawa seseorang telah melakukan kesalahan yang sebenarnya belum dibuktikan.
Beliau berharap masyarakat Sabah tidak mudah terpengaruh dengan tajuk sensasi atau propaganda mana-mana pihak, sebaliknya menyemak fakta, menilai bukti dan menunggu proses undang-undang sebelum membuat kesimpulan.
“Politik mesti berdebat dengan fakta, media mesti melaporkan dengan tanggungjawab dan tuduhan jenayah mesti dibuktikan melalui proses undang-undang.
“Seseorang tidak menjadi bersalah hanya kerana namanya disebut di media sosial,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
