KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan rampasan dadah dan rokok bernilai RM111.73 juta dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata statistik sehingga Julai itu hasil daripada 125,387 pemeriksaan yang dijalankan.
“Daripada jumlah itu, 11 kes dadah direkodkan dengan rampasan RM86.07 juta.
“Bagi kes penyeludupan rokok pula, 164 kes dicatatkan dengan nilai rampasan RM25.66 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, selain itu, Maritim Malaysia turut mematahkan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menahan 885 migran.
“Maritim Malaysia serius melaksanakan pengawasan perairan dalam membanteras jenayah rentas sempadan terutamanya membabitkan aktiviti pengedaran dadah.
“Kita tidak akan berkompromi dengan setiap cubaan mengedar dadah di Zon Maritim Malaysia dan akan memastikan setiap individu atau sindiket diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Katanya, agensi itu juga akan terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain bagi memburu dan mengheret ke muka pengadilan semua dalang di sebalik kegiatan jenayah.
Kredit sumber: Buletin TV3
