KOTA KINABALU, 2 September 2026 – Seramai 172 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dipindahkan pulang ke negara asal menerusi laluan laut dalam program yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, hari ini.
Program berkenaan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau yang dibawa melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu sebelum meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Daripada jumlah itu, 129 orang adalah lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 63 tahun.
Kanak-kanak yang terlibat turut ditemani ibu bapa atau pengiring masing-masing sepanjang proses pemindahan ke negara asal.
Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses pemindahan tahanan asing dilaksanakan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Kesemua tahanan PATI yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta mempunyai Travel Document (TD) yang sah bagi membolehkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.
Sementara itu, beberapa siri pemindahan tahanan PATI membabitkan warganegara asing lain turut dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah sejak kebelakangan ini.
Pada 1 September lalu, Depot Imigresen Kota Kinabalu melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warganegara China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan terus ke Guangzhou, China.
Pada 27 Ogos lalu, Depot Imigresen Tawau pula melaksanakan pemindahan enam lelaki dewasa warganegara China melalui Lapangan Terbang Tawau menggunakan penerbangan terus ke Guangzhou.
Pada tarikh sama, tujuh lelaki dewasa dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dipindahkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pemindahan itu melibatkan dua warganegara Pakistan ke Lahore, Pakistan, dua warganegara India ke Tiruchirappalli, India dan tiga warganegara Vietnam ke Ho Chi Minh, Vietnam.
Depot Imigresen Papar pada tarikh sama turut melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warganegara India melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan transit di Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Tiruchirappalli, India.
Sehingga kini, keseluruhan 4,947 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 3,197 merupakan warganegara Filipina, Indonesia seramai 1,471 orang, Pakistan (120), China (116), Vietnam (21), manakala 22 lagi terdiri daripada lain-lain kewarganegaraan.
Jabatan Imigresen Negeri Sabah turut menyeru masyarakat supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta mengambil tindakan bertanggungjawab dengan melaporkan sebarang kegiatan berkaitan PATI kepada pihak berkuasa.
Aduan boleh disalurkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia. – DAKWAT RAKYAT POST
