BATU PAHAT: Seorang lelaki direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya gara-gara wanita itu enggan memberi wang kepadanya untuk bermain judi dalam talian.
Perintah reman terhadap suspek berusia 35 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini hingga Jumaat bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.
Mengikut keterangan kes, suspek dikatakan tidak berpuas hati terhadap mangsa sebelum memukul kepalanya beberapa kali sehingga cedera di sebuah rumah di Rengit, kira-kira jam 4 pagi, 31 Oktober lalu.
Akibat tidak tahan dengan perbuatan suspek yang panas baran dan kerap memukulnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rengit pada hari kejadian.
Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam di rumahnya bagi membantu siasatan.
Kredit sumber: Buletin TV3
