KOTA KINABALU, 13 September 2026 – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyatakan sokongan terhadap pendirian Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, agar tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan diselesaikan dengan segera.
Ketua Penerangan PGRS, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata ketegasan Hajiji dalam membawa perkara itu ke peringkat rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menunjukkan kesungguhan untuk memastikan hak Sabah menghasilkan penyelesaian yang nyata dan memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, tuntutan berkenaan bukan perkara baharu dan tidak seharusnya dilihat sebagai permintaan berbentuk ihsan, sebaliknya merupakan hak Sabah yang mempunyai asas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Penyelesaian tuntutan ini perlu dibuat secara adil, bertanggungjawab dan berlandaskan semangat pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media pada 13 September 2026.
Nizam berkata, PGRS turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.
Katanya, peningkatan bayaran berkenaan merupakan perkembangan positif yang dicapai hasil rundingan berterusan antara kedua-dua kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bayaran interim tersebut tidak bermakna tuntutan hak 40 peratus telah selesai kerana perkara itu masih perlu dimuktamadkan.
“Bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu diselesaikan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PGRS turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Nizam berkata, peningkatan perwakilan itu penting bagi memastikan suara Sabah mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan kedua-dua negeri berkenaan ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
Beliau turut menegaskan kepentingan mempercepatkan proses Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan, selain menyelesaikan perkara-perkara lain yang masih tertangguh di bawah MA63.
Katanya, isu-isu tersebut mempunyai hubungan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan serta keupayaan negeri untuk mengurus dan menentukan kepentingannya dengan lebih berkesan.
Menurut Nizam, pendekatan Hajiji dalam memperjuangkan hak Sabah adalah berasaskan ketegasan dalam mempertahankan kepentingan negeri, namun pada masa sama mengutamakan rundingan, kerjasama serta hubungan antara kerajaan.
Beliau berkata pendekatan tersebut telah membawa kemajuan terhadap beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan wajar diteruskan sehingga semua perkara yang masih belum diselesaikan dapat dimuktamadkan.
“Bagi PGRS, kepentingan hak Sabah adalah lebih besar daripada kepentingan politik kepartian. Apa yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah perlu diperjuangkan secara berterusan,” katanya.
PGRS, katanya, turut menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan terhadap perkara-perkara yang masih belum mencapai penyelesaian.
Namun, Nizam menegaskan PGRS akan terus berdiri bersama Ketua Menteri dalam usaha memastikan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah diberikan keutamaan dan diselesaikan dalam tempoh yang sewajarnya.
“Sabah tidak menuntut sesuatu yang melebihi haknya. Apa yang dimahukan hanyalah pelaksanaan perkara yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan secara adil, konsisten serta penuh tanggungjawab,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
