Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu supaya rakyat memberi peluang kepada kerajaan untuk meneruskan usaha menyelamatkan negara.
Perdana Menteri mengakui tindakannya menerajui kerajaan MADANI kini mungkin tidak memenuhi kehendak pihak yang mahu segala perkara disegerakan.
Anwar berkata, tindakan yang dilakukan secara tergesa-gesa juga boleh mengundang permusuhan, terutama apabila masih ada pihak yang tidak mahu tindakan diambil atau pendedahan dibuat berhubung isu tertentu.
“Saya sudah lakukan yang sebaik mungkin. Saya minta maaf kalau ia tidak memenuhi selera orang yang merasakan perlu disegerakan. Tapi harus faham, menyegerakan tindakan juga mengundang permusuhan.
“Seperti yang berlaku sekarang, ada orang tidak mahu sebarang tindakan, tidak mahu sebarang pendedahan, tidak mahu perkataan ‘sakau’ digunakan.
“Tetapi saya terima kasih kepada yang beri kepercayaan dan saya ingin merayu dari lubuk hati saya, berilah peluang kepada kita selamatkan negara kita,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Sembang OhhYeahh! di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia mempunyai potensi luar biasa, selain menyifatkan golongan muda sebagai kelompok yang menunjukkan kepekaan dan minat tinggi terhadap masa depan negara.
Katanya, semangat serta harapan anak muda dapat dilihat menerusi sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut dengan penuh semangat.
“Jangan balik toleh dan retrogresif ke belakang. Negara ini harus ke depan, dan dalam tahap yang kita capai sekarang itu dihormati di rantau dan di dunia. Jangan sia-siakan peluang ini, itu saja,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak kekal selama-lamanya, namun perkara lebih penting ialah memastikan negara terus dipelihara.
“Perdana Menteri datang dan pergi, saya insaf perkara itu. Tetapi negara mesti diselamatkan.
“Jangan izinkan kita balik dengan amalan dan budaya benci kepada manusia, benci kepada kaum dan lebih mudah menerima rasuah dan penyelewengan.
“Negara ini ada kekuatan, jangan rosakkan. Itu harapan saya. Saya mampu ditegur, saya banyak ditegur. Saya Perdana Menteri paling banyak turun ke universiti, dialog, dengar anak-anak dan saya boleh perbaiki di mana yang saya anggap kekurangan dan kelemahan.
“Tetapi saya ingin merayu, jangan izinkan negara ini dihampakan oleh gerombolan yang punyai kepentingan yang akan merosakkan kekuatan sendi kita,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 16 September 2026
