KUCHING: Warga Jabatan Penjara Malaysia perlu terus memperkukuh integriti, profesionalisme dan disiplin dalam melaksanakan amanah, khususnya ketika berdepan cabaran keselamatan serta isu kesesakan penghuni di institusi penjara.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pegawai penjara masa kini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah perlu memiliki ketahanan mental, kematangan emosi, kecerdasan berfikir serta keteguhan integriti.
Menurutnya, cabaran keselamatan yang semakin kompleks termasuk ancaman dadah, jenayah terancang, penyeludupan dan rasuah menuntut warga penjara sentiasa meningkatkan keupayaan serta bersedia menghadapi perubahan semasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara Siri 1/2026 di Penjara Puncak Borneo, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa isu kesesakan penghuni penjara bukan sekadar berkaitan kapasiti bangunan, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap pengurusan harian, beban tugas pegawai, keselamatan institusi, kesihatan penghuni serta keberkesanan program pemulihan.
Sehubungan itu, setiap pegawai perlu memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi terhadap integriti, meskipun berdepan kekangan ruang, sumber dan beban tugas yang tinggi.
Mohamad Rosidek turut menggariskan empat prinsip utama yang perlu menjadi pegangan setiap pegawai penjara, iaitu integriti, keselamatan, profesionalisme serta keseimbangan antara ketegasan dalam melaksanakan hukuman dengan nilai kemanusiaan.
Beliau menjelaskan bahawa institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, sebaliknya turut berperanan sebagai ruang membina semula kehidupan individu menerusi pendekatan pemulihan yang berkesan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan para pelatih yang menamatkan latihan supaya terus menimba ilmu, menghormati pegawai senior, terbuka menerima teguran dan tidak menyalahgunakan kuasa ketika menjalankan tugas.
Beliau turut menekankan tiga prinsip penting sepanjang perkhidmatan, iaitu ilmu sebagai kekuatan, integriti sebagai pegangan dan amanah sebagai perjuangan.
Mengambil semangat perjuangan pahlawan Iban, Rentap menerusi ungkapan ‘Agi Hidup, Agi Ngelaban’, beliau menyeru warga baharu Jabatan Penjara Malaysia supaya menjadikan keberanian dan kecekalan sebagai inspirasi dalam mempertahankan integriti, disiplin serta maruah jabatan.
Beliau berharap generasi baharu pegawai penjara dapat menjadi anggota yang berilmu, berintegriti, berdisiplin dan berjiwa besar dalam melaksanakan tanggungjawab demi memelihara keselamatan serta martabat Jabatan Penjara Malaysia.-DAKWAT RAKYAT POST
