LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu terus memperkukuh kemahiran pengendalian senjata api dalam kalangan anggotanya menerusi penganjuran Program Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil (UKMSK) Siri 2/2026 di Lapang Sasar Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), baru-baru ini.
Program berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan dan disiplin dalam pengendalian senjata api, malah menjadi platform mengeratkan hubungan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan serta rakan media.
Majlis perasmian program disempurnakan Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty B. Mohd Dzul.
Turut hadir Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Suhailla Selag dan Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa bin Rashid.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, program itu memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai prosedur serta tatacara pengendalian senjata api sebenar dengan mengutamakan aspek keselamatan.
Menurutnya, penggunaan peluru hidup bagi kategori pistol dan senjata kecil bukan sahaja memberikan pengalaman praktikal kepada peserta, malah memerlukan tahap disiplin, fokus dan kawalan diri yang tinggi.
Peserta turut berpeluang menguji kemahiran menerusi tiga acara utama iaitu Precision (ketepatan menembak), Rapid Fire (tembakan pantas) dan Falling Plate (sasaran piring jatuh) menggunakan senjata jenis 14K SFP9-SF.
Dalam keputusan pertandingan, Zulhafiz Brahim yang mewakili Astro AWANI muncul juara bagi acara individu Rapid Fire, manakala Kumpulan Abang Bomba menjuarai acara Falling Plate.
Terdahulu, taklimat keselamatan disampaikan BK(M) Nizam bin Mohamed Uyob yang menekankan kepentingan pematuhan protokol kecemasan, kawalan senjata serta penggunaan kelengkapan perlindungan sepanjang aktiviti berlangsung.
Program itu turut disertai pengamal media daripada Bernama, TVS, Astro AWANI dan Sabah Headlines.
Penganjuran UKMSK Siri 2/2026 diharap dapat meningkatkan kesedaran serta kecekapan peserta dalam pengendalian senjata api, selain memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan serta rakan media.-DAKWAT RAKYAT POST
