SANDAKAN: Storm Strikes Netball Club menutup saingan Kejohanan Bola Jaring Veteran Classic 2026 dengan kejayaan merangkul gelaran juara selepas mengungguli pertandingan yang disertai tujuh pasukan di Kompleks Sukan Komuniti Libaran, Batu 12, semalam.
Duchess dari Kota Kinabalu muncul naib juara, manakala Thunderbolt menduduki tempat ketiga dalam kejohanan berkenaan.
Turut mengambil bahagian ialah Rimba Squad Netball, Basta Bouncer, Maganda Besties dan Court Queen.
Pengerusi Penganjur, Nur Shahnung binti Laram Shah berkata, kejohanan itu menjadi platform kepada pemain veteran untuk terus bergiat aktif dalam sukan bola jaring menerusi persaingan secara sihat dan kompetitif.
Menurutnya, penganjuran kejohanan seumpama itu juga berperanan mengeratkan hubungan silaturahim antara pasukan, selain menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan komuniti.
Storm Strikes Netball Club berharap kejohanan seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memartabatkan sukan bola jaring serta mengukuhkan semangat perpaduan dan persahabatan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pemain, pengadil dan petugas yang menjayakan kejohanan, selain menghargai sokongan penaja menerusi sumbangan dana serta barangan.
Kejayaan penganjuran itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti sukan komuniti, khususnya dalam memberi peluang kepada pemain veteran untuk terus aktif dan mengekalkan semangat kesukanan.-DAKWAT RAKYAT POST
