KOTA KINABALU: Industri perfileman Sabah mencatat perkembangan positif apabila filem thriller seram tempatan, GIRING, arahan Pengarah Filem, Marlin Malalin berjaya meraih kutipan sebanyak RM500,000 dalam tempoh seminggu tayangan sejak mula ditayangkan di pawagam pada 29 Oktober 2026.
Pencapaian itu bukan sahaja menjadi kejayaan awal kepada produksi berkenaan, malah memberi gambaran bahawa karya anak tempatan Sabah mempunyai potensi untuk menarik perhatian penonton dan bersaing dalam pasaran perfileman negara.
Menerusi poster penghargaan yang dikeluarkan pihak produksi, kutipan RM500,000 itu turut menjadi pencapaian awal dalam usaha mengejar sasaran seterusnya sebanyak RM1 juta.
Filem terbitan 7A Borneo Sdn. Bhd. itu menampilkan gabungan pelakon tempatan dan nasional, antaranya Tati Eliana Tonny, Bell Ngasri, Adeline Tsen, Rodhi Madun, Duncan Christian Tubong, Ray Redzuan Awang, Lucilla Anggun dan Marlin Malalin.
Mengangkat genre thriller seram dengan sentuhan sejarah dan budaya tempatan, GIRING tampil dengan slogan yang mencetuskan elemen misteri dan debaran, iaitu “Bila berbunyi, kau akan mati.”
Dalam pada itu, Marlin berkata, keistimewaan GIRING bukan sekadar terletak pada elemen seram, sebaliknya filem berkenaan turut membawa mesej sejarah yang besar dengan mengambil latar era pembentukan Malaysia serta perjuangan masyarakat peribumi Sabah menentang pendudukan Jepun.
Menurutnya, penceritaan filem itu turut mengetengahkan peranan tokoh-tokoh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, termasuk Tun Datu Mustapha Harun, Donald Stephens dan Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata, antara mesej utama yang ingin disampaikan menerusi filem itu ialah semangat kebangkitan masyarakat peribumi Sabah daripada pelbagai latar belakang bangsa dalam menghadapi cabaran sejarah, sekali gus memperlihatkan kekuatan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Pengarah Fotografi, Ray Rakis juga tampil memberikan seni visual yang sangat berkualiti sepadan dengan pengalaman luas beliau dalam bidang penggambaran.
Selain itu, GIRING turut membawa nilai integrasi nasional dengan mengangkat semangat kebersamaan, persefahaman dan keharmonian masyarakat sebagai asas penting dalam pembinaan sebuah negara.
Kekayaan budaya tempatan yang diketengahkan dalam filem itu juga menjadi antara kekuatan utama produksi berkenaan, khususnya dalam memperkenalkan warisan, identiti dan keunikan masyarakat Sabah kepada penonton lebih luas.
Lebih daripada sekadar sebuah filem seram, karya berkenaan memperlihatkan potensi kekayaan sejarah dan warisan masyarakat Sabah untuk diketengahkan sebagai kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial serta kepentingan pendidikan sejarah.
Kejayaan awal GIRING juga wajar dilihat sebagai dorongan kepada perkembangan ekosistem industri kreatif negeri, termasuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat tempatan dalam bidang lakonan, pengarahan, penerbitan dan produksi filem.
Dalam pada itu, pihak produksi berharap sokongan penonton, khususnya rakyat Sabah, dapat membantu filem berkenaan mencapai sasaran kutipan RM1 juta serta membuka peluang kepada lebih banyak karya tempatan menembusi pasaran lebih luas.
Pencapaian ini membuktikan bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan alam dan kepelbagaian budaya, malah mempunyai sejarah, cerita, bakat serta kreativiti yang berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional.
GIRING bukan sekadar sebuah filem seram, tetapi sebuah karya yang mengangkat sejarah, perpaduan dan identiti Borneo ke layar perak-DAKWAT RAKYAT POST.
