RANTAU PANJANG – Jenazah seorang lelaki berusia 23 tahun seberat kira-kira 250 kilogram (kg) menyebabkan proses pemindahan yang dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Rantau Panjang dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian ke Masjid Al-Hidayah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Gual Tinggi di sini mengambil masa hampir lima jam pada Jumaat.
Pegawai Unit Pertahanan Awam Rantau Panjang, Leftenan Mohd Fuad Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan khidmat khas (CD713 – Bantuan Lain-Lain) untuk membantu menguruskan pemindahan jenazah berkenaan.
“Operasi bermula jam 11.01 pagi dan selesai sekitar 3.56 petang, melibatkan seorang pegawai dan dua anggota APM bersama sebuah lori.
“Jenazah dibawa dari HPUSM Kubang Kerian ke Masjid Al-Hidayah untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Gual Tinggi bagi urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Ujar beliau, urusan berkenaan turut mendapat kerjasama penduduk kampung yang bersama-sama membantu anggota APM bagi memastikan proses pengendalian dan pengebumian jenazah berjalan lancar.
Menurutnya, khidmat khas berkenaan dilaksanakan bagi membantu pihak berkaitan menguruskan pemindahan jenazah sehingga urusan pengebumian selesai.
Kredit sumber: Sinar Harian
