Semenyih: “Tak sangka saya akan diuji begini tapi akan cuba sehabis baik untuk menjaga isteri kerana mahu anak lihat dan tahu saya tak pernah meninggalkan ibu mereka.
“Lagipun, isteri amanah yang perlu dijaga sebaik melafazkan akad nikah dan sah bergelar suami walau macam mana pun keadaannya.”
Itu janji Abdul Fatah Aziz @ Abdul Aziz, 43, yang masih setia melayari bahtera rumah tangga dan menjaga isteri, Ummu Nasibah Nasohah, 43, yang menderita akibat penyakit Motor Neuron (MND) sejak 10 tahun lalu.
Tanggungjawab itu bukan satu tugas yang mudah kerana Ummu Nasibah juga hilang keupayaan berjalan sejak 2018 hingga mengubah statusnya daripada insan normal kepada orang kurang upaya (OKU).
Lebih menyedihkan, sudah tiga tahun Abdul Fatah tidak pernah mendengar suara Ummu Nasibah yang juga hilang keupayaan bertutur kesan penyakit dialami.
Menceritakan kisahnya, Abdul Fatah berkata, isterinya pernah bekerja selama 10 tahun sebagai pensyarah Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan ketika sihat.
Bagaimanapun, Abdul Fatah yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah bank berkata, segalanya berubah selepas kesihatan isterinya merosot hingga terpaksa berhenti kerja.
“Awalnya, isteri mengalami kebas tangan kiri dengan tiba-tiba pada akhir 2016 kemudian dia kerap mengadu sakit hingga kerap dibawa ke hospital. Tapi keadaan jadi lebih teruk apabila dia jatuh sebanyak lebih 14 kali sejak pertengahan 2017 iaitu ketika hamil anak bongsu kami.
“Keadaan itu berterusan sampai hampir bersalin. Selepas melahirkan anak pada September 2017, kami beritahu doktor dan dia terkejut dengan apa yang berlaku.
“Ujian demi ujian dijalankan dan enam bulan kemudian iaitu pada Mac 2018, doktor di Hospital Serdang, Selangor mengesahkan isteri menghidap MND,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Batu 1, Jalan Bangi, di sini.
Abdul Fatah berkata, dia tidak tahu apa itu MND pada awalnya dan terkejut selepas dimaklumkan doktor yang penyakit isterinya tiada penawar malah kali terakhir ke hospital kira-kira dua tahun lalu.
Lebih membimbangkannya selepas diberitahu doktor anggaran jangka hayat isterinya yang kemungkinan boleh bertahan untuk tiga hingga lima tahun saja.
“Tapi sebelum itu iaitu dalam akhir 2017, isteri sudah menggunakan kerusi roda dan saya pun bantu memandikannya.
“Disebabkan dia ada masalah bercakap, saya belikan peranti pertuturan yang di tempah dari luar negara dengan harga RM2,000 hasil bantuan USIM juga rakan.
“Awalnya, isteri putus asa nak menggunakannya kerana perlu fokus menggunakan mata tapi peranti itu digunakan juga empat tahun lalu selepas suaranya beransur hilang.
“Sekarang, isteri gunakan peranti itu yang dihubungkan dengan komputer riba dan kini, saya dapat berkomunikasi dengannya walaupun ketika di pejabat,” katanya.
Abdul Fatah berkata, dia tidak berseorangan dalam menguruskan isteri namun dibantu anak terutama yang sulung, Umar Farouq Abdul Fatah, 17.
Katanya, waktu kerjanya juga agak fleksibel jadi memudahkan urusan menjaga dan menguruskan isteri.
“Saya bekerja setiap Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi sampai 5 petang tapi dua hari di cawangan Bangi, dua hari di pejabat Kuala Lumpur dan sehari di rumah.
“Jadi masih ada masa menjaga isteri dan pantau isteri dengan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah selain minta bantuan sepupu yang tinggal berdekatan untuk tengokkan isteri.
“Dulu pernah ambil pembantu tapi sekarang tiada lagi jadi saya yang buat kerja rumah termasuk memasak, mencuci pakaian dan mengemas.
“Isteri tak pakai beg stoma jadi ada waktunya saya yang bantu keluarkan najisnya sejak 2018. Ada masanya patah semangat tapi kena kuat dan sihat demi isteri juga anak,” katanya.
Sebagai suami, Abdul Fatah belum berputus asa malah menaruh harapan dan mengharapkan keajaiban untuk melihat isterinya sembuh.
“Selain perubatan moden, saya ikhtiar juga dengan cara tradisional termasuk bawa isteri berjumpa dengan 20 orang ustaz (perawat) tapi keadaannya masih sama.
“Tahun pertama saja, saya belanjakan wang simpanan sebanyak RM10,000 untuk membeli ubat disyorkan isteri dan dianggarkan sudah berhabis sehingga RM200,000 setakat ini bagi rawatan isteri.
“Cuma Allah SWT belum izinkan isteri sembuh dan tak berasa ralat pun kerana yakin dia (isteri) pun akan buat benda yang sama jika saya ditempatnya,” katanya yang mencari kekuatan dengan menyimpan dan menonton video individu diduga dengan ujian hebat.
Sementara itu, anak sulungnya, Umar Farouq berkata, kehidupannya tidak sama seperti rakan sebaya yang lain kerana sudah mula membantu bapa menjaga dan menguruskan ibunya sejak berumur tujuh tahun.
Katanya, tahun ini agak mencabar kerana dia bukan hanya perlu meneruskan rutin menjaga ibunya seperti biasa malah membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dijadualkan bermula November depan.
“Rutin saya bermula jam 5 pagi pada hari biasa dan jam 8 pada hujung minggu. Kebiasaannya saya akan bantu pusingkan badan mama kemudian beri makan juga bukakan komputer ribanya.
“Saya sudah terbiasa kerana buat sejak kecil dan anggap apa yang dilakukan sebagai satu tanggungjawab walaupun tak dapat merasai kehidupan macam remaja lain.
“Jujurnya emosi agak terganggu hingga ada waktunya tertekan untuk belajar. Tapi saya cuba sehabis baik dalam akademik dan dapat 5A dalam peperiksaan percubaan SPM yang lalu.
“Tak tahu lagi mana hala tuju saya selepas SPM nanti kerana mama pun banyak bergantung dengan saya untuk menjaganya,” katanya.
Buat masa ini, keluarga itu belum menerima bantuan dan orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 12065020157762 atas nama Ummu Nasibah Nasohah.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 21 September 2026
