TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia maut, manakala suaminya cedera dalam kejadian di sebuah rumah pekerja di Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.55 petang sebelum mangsa berusia 37 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuhnya.
“Suami mangsa yang berusia 38 tahun turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.
“Suspek dilaporkan stabil dan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut menemukan dan merampas beberapa barang yang dipercayai berkaitan dengan kejadian termasuk sebilah sabit dan sebatang kayu.
Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas pasangan berkenaan pulang daripada bercuti.
Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat perkembangan lain selepas semua bukti dianalisis.
“Polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis DNA, laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.
“Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tawau, Asisten Superintendan Maliki Majuni di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran.
