TAWAU: Sebuah Perodua Myvi merempuh sebuah premis perniagaan sebelum melanggar sebuah kenderaan lain selepas dipercayai tersalah tekan pedal minyak di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu lelaki tempatan berusia 60 tahun dilaporkan baru selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran sebelum masuk ke dalam kenderaannya untuk keluar dari petak parkir.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai tertekan pedal minyak ketika cuba menggerakkan kenderaannya.
“Kereta berkenaan kemudian meluncur ke hadapan sebelum merempuh sebuah premis perniagaan.
“Pemandu yang panik kemudiannya cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, namun pemandu Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, saringan awal air kencing terhadap pemandu terbabit didapati negatif dadah, manakala ujian pernafasan turut dijalankan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Rosdi turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan keadaan kenderaan berada pada tahap baik serta memberi perhatian sepenuhnya ketika mengendalikan pedal minyak dan brek.
“Pemandu juga perlu memastikan gear berada pada kedudukan yang betul sebelum menggerakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Rakaman kejadian yang memaparkan Myvi berkenaan merempuh premis sebelum mengundur dan melanggar kenderaan lain turut tular di media sosial.
