KOTA KINABALU: Pernah membantu ibunya menjual di kedai runcit ketika usia remaja, namun kehidupan sederhana itu tidak pernah mematahkan semangat Suriati Sukardi, 36, dari Sabah untuk mengejar impian yang lebih besar.
Siapa sangka, daripada membantu keluarga mencari rezeki termasuk di pasar tamu, Suriati kini menerbangkan pesawat komersial Airbus A320 dan A321 milik AirAsia.
Perjalanan kerjayanya bermula pada 2017 apabila beliau menyertai AirAsia sebagai pramugari dan berkhidmat selama lapan tahun. Namun, dalam tempoh itu, beliau tidak sekadar melihat kerjaya penerbangan sebagai pekerjaan, sebaliknya menjadikannya peluang untuk melangkah lebih jauh.
Pada 2019, Suriati diberikan peluang mengikuti latihan bagi mendapatkan lesen juruterbang dan berjaya menamatkan latihan berkenaan pada 2022.
Bagaimanapun, perjalanan untuk merealisasikan impian itu tidak semudah yang disangka apabila beliau terpaksa kembali bertugas sebagai pramugari selepas tamat latihan.
Tidak berputus asa, Suriati terus menanti peluang dan akhirnya pada 2024, rezeki yang dinantikannya tiba apabila menerima tawaran untuk menjadi juruterbang.
Hari ini, impian yang bermula daripada kehidupan sederhana di pasar tamu akhirnya membawa Suriati ke tempat duduk juruterbang, menerbangkan pesawat AirAsia Airbus A320 dan A321.
Kisah Suriati membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk seseorang mengejar impian. Daripada membantu ibu mencari rezeki di pasar tamu sehingga mengemudi pesawat komersial, perjalanan beliau menjadi inspirasi bahawa usaha, kesabaran dan keberanian untuk mencuba mampu membuka jalan kepada kejayaan.
