SANDAKAN: Seramai 11 lelaki, termasuk seorang remaja berusia 15 tahun, ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan antara dua kumpulan di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kesemua individu berusia 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam menerusi talian kecemasan pada kira-kira jam 7.36 malam.
Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan kesemua individu yang dipercayai terbabit.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hari sama.
“Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu turut dirakam sebelum video pergaduhan berkenaan tersebar dan tular di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
George berkata, polis masih meneruskan siasatan termasuk usaha mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
Masyarakat turut diminta mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan video tular itu yang boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu siasatan polis.-DAKWAT RAKYAT POST
