SANDAKAN: Seorang Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi berdepan 14 pertuduhan menggunakan dokumen tuntutan yang didakwa mengandungi butiran dan pernyataan palsu membabitkan pembekalan barangan serta perkhidmatan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan.
Tertuduh, Nur Izzati Mohd Rudzuan, 37, yang bertugas di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Sandakan, hari ini.
Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan antara Ogos hingga September 2023 serta April hingga Mei 2024 di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan.
Antara dokumen yang menjadi pertuduhan termasuk invois berkaitan pembekalan makanan dan minuman, makanan sejuk beku, makanan kering, hamper, cenderahati, Gift Hamper dan perkhidmatan sistem audio (PA).
Dalam satu pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan invois Al-Shifa Enterprise bernombor 0018 bertarikh 4 April 2024 bagi tuntutan pembekalan hadiah dan cenderahati berjumlah RM1,500, sedangkan pembekalan itu didakwa tidak dilakukan sepenuhnya.
Satu lagi pertuduhan membabitkan invois Al-Shifa Enterprise bernombor 0019 bertarikh 6 April 2024 bagi pembekalan hamper bernilai RM1,000 yang didakwa tidak dibekalkan sepenuhnya.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan berkaitan invois ZEE’S Enterprise bernilai RM3,500 bagi pembekalan pelbagai makanan termasuk bilis kopek, udang kering, amplang, ikan masin dan sotong kering.
Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan dengan menggunakan dokumen yang mengandungi butiran dan pernyataan palsu yang didakwa bertujuan mengelirukan pihak prinsipal.
Pertuduhan lain membabitkan tuntutan RM1,360 bagi Gift Hamper, RM1,000 bagi perkhidmatan PA Sistem, RM2,800 bagi pelbagai produk makanan kering serta beberapa tuntutan makanan dan minuman bernilai antara RM106 hingga RM750.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta berkenaan.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan, jika dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah yang dipengerusikan Hakim Andi Razalijaya A Dadi menetapkan jaminan RM10,000 dengan RM5,000 didepositkan ke akaun mahkamah serta seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut dilarang mengganggu saksi pendakwaan, diwajibkan melapor diri di mana-mana pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan kes bagi pengurusan perbicaraan, manakala perbicaraan ditetapkan selama lima hari bermula 1 hingga 5 Februari 2027.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon.
