BELURAN: Seorang guru cedera parah manakala tiga pelajar mengalami kecederaan ringan selepas Perodua Aruz dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Pamol Sapi Nangoh, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.23 tengah hari itu, kedua-dua kenderaan terbabit membawa keseluruhan lapan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, NurAzlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.23 tengah hari sebelum sepasukan lima anggota dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.58 petang dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz.
“Empat mangsa yang berada dalam Toyota Hilux dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
“Manakala empat mangsa dalam Perodua Aruz terdiri daripada seorang pemandu wanita berusia 25 tahun yang merupakan guru dan dilaporkan cedera parah serta tiga penumpang perempuan yang merupakan pelajar dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.
NurAzlan berkata, semua mangsa yang cedera menerima rawatan awal daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, tiada operasi menyelamat dijalankan bomba kerana kesemua mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan dan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian sebelum memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal.
“Operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang,” katanya.
Beliau berkata, jarak lokasi kejadian kira-kira 104 kilometer dari BBP Beluran.
