KINABATANGAN: Sebuah blok rumah kongsi empat pintu musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Block AF Melewar Estate Division 1 Paris 3, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Drawis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi talian NG999 pada jam 11.35 pagi.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari BBP Kinabatangan dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 55 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 12.36 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah blok rumah kongsi empat pintu jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 80 x 45 kaki yang telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke lima blok rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suriyadi berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos reel dari jentera bomba.
Katanya, tiada pili bomba berhampiran lokasi dan pasukan menggunakan sumber air terbuka yang terdapat di kawasan kejadian.
“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 1.40 petang dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian.
“Kerja-kerja overhaul kemudian dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.43 petang,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan 10 anggota Emergency Response Team (ERT) kilang Melewar Estate.
