TAWAU: Kerajaan Persekutuan diminta memastikan Belanjawan 2027 bukan sekadar mengumumkan peruntukan bernilai berbilion ringgit, sebaliknya diterjemahkan kepada pembangunan sebenar yang dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, komitmen merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Sabah tidak seharusnya terus menjadi retorik setiap tahun tanpa pelaksanaan yang jelas di lapangan.
Katanya, bagi penduduk Kalabakan, isu pembangunan bukan lagi soal keselesaan, sebaliknya membabitkan keperluan asas dan kelangsungan hidup.
“Penduduk di pedalaman, luar bandar dan pulau masih bergelut dengan perkara asas seperti jalan perhubungan yang daif, ketiadaan bekalan air bersih terawat, fasiliti kesihatan terhad serta capaian internet tidak menentu.
“Pengurangan jurang pembangunan hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada kerja fizikal yang siap di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan rakyat Kalabakan tidak terus terpinggir.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan siling peruntukan khusus dan berfokus bagi menaik taraf jalan perhubungan luar bandar, jaringan utiliti air serta sambungan logistik ke pulau di Kalabakan.
“Keperluan asas ini adalah prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu mekanisme pemantauan khas diwujudkan bagi memastikan peruntukan yang diumumkan tidak terhenti di peringkat perancangan atau berdepan kelewatan akibat birokrasi antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Setiap ringgit yang diumumkan mesti benar-benar sampai dan dibelanjakan di tapak projek mengikut jadual,” katanya.
Suryady berkata, pembangunan ekonomi nasional juga perlu mengambil kira kawasan luar bandar dan pedalaman supaya rakyat di kawasan pinggir tidak terus ketinggalan.
Katanya, Kalabakan memerlukan pelaburan terus dalam sektor pendidikan, pemerkasaan klinik kesihatan desa dan pembangunan ekonomi komuniti.
“Rakyat Kalabakan tidak menilai Belanjawan 2027 melalui angka berbilion yang dibacakan di Dewan Rakyat, tetapi melalui paip yang mengalirkan air bersih dan jalan berturap di hadapan rumah mereka.
“Sudah tiba masanya agihan kemakmuran negara dirasai secara adil di seluruh pelosok Sabah,” katanya.
