TAWAU: Seramai 14 lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan polis selepas terbabit dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 6 petang pada 6 Oktober lalu.
Katanya, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan mengesan individu terbabit sebelum menahan 14 lelaki berkenaan pada 7 Oktober lalu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum berlaku pergaduhan yang kemudiannya melibatkan beberapa pelajar lain.
“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Menurutnya, salah seorang individu yang ditahan adalah warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kes utama disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditahan.
“Polis turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan individu ditahan, mendapatkan laporan perubatan mangsa serta bekerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau,” katanya.
Rosdi turut memberi amaran bahawa tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan apa-apa objek sebagai senjata adalah kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
“Polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, manakala pelajar pula diingatkan supaya tidak terbabit dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.
“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
