SANDAKAN: Suntikan dana kira-kira RM400,000 di bawah Kementerian Komunikasi membuka ruang lebih besar kepada penggiat seni di Sandakan untuk menganjurkan persembahan muzik berskala besar, sekali gus memberi peluang kepada pemuzik tempatan mengetengahkan karya mereka kepada khalayak lebih luas.
Sokongan menerusi MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik itu disalurkan bagi penganjuran Rocktimatum Fest 2026 yang berlangsung di Dewan Tiong Hua Sandakan, Sabtu lalu.
Festival anjuran Don Legacy Resources itu menghimpunkan tujuh kumpulan muzik dari Sabah dan Semenanjung Malaysia, termasuk Search Kiddin yang menampilkan dua gitaris legenda kumpulan Search, Kid dan Din.
Pengarah Konsert Rocktimatum Fest 2026, Muhammad Firdaus Shaharom berkata, penganjuran persembahan berskala besar bukan sahaja memberi ruang kepada pemuzik untuk berkarya, malah membantu menggerakkan rantaian industri kreatif yang menyokong sesebuah produksi.
“Semoga dengan adanya konsert yang berskala besar begini, kita dapat menaikkan lagi industri seni dan juga membantu karya-karyawan seperti pemuzik, penulis lirik, komposer dan tidak lupa pengusaha seperti PA System, lighting serta pelbagai lagi yang berkaitan,” katanya.
Selain mengetengahkan muzik rock, festival itu turut memberi ruang kepada kumpulan tempatan memperkenalkan identiti muzik Sabah menerusi gabungan elemen tradisional dan moden.
Antaranya, kumpulan Tuni Sundatang dari Ranau yang menggabungkan muzik moden dengan alat muzik tradisional Sabah seperti sundatang, sompoton dan kulintangan.
Penyanyi utama Tuni Sundatang merangkap pembuat sundatang, Gindung McFeddy Simon berkata, perkembangan muzik yang menggabungkan alat tradisional dengan pelbagai genre moden kini semakin mendapat perhatian.
Katanya, perkembangan itu turut dilihat menerusi peningkatan minat dalam kalangan golongan muda, termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk membentuk kumpulan muzik serta mendapatkan alat muzik tradisional.
“Bagi saya, alat muzik ini sedang berkembang dan meningkat apabila semakin ramai mula menggunakannya dalam muzik mereka,” katanya.
Menurutnya, pentas seperti Rocktimatum Fest turut memberi peluang kepada pemuzik yang mengetengahkan alat muzik tradisional untuk memperkenalkannya kepada khalayak yang lebih dekat dengan muzik rock dan genre moden.
Penganjuran festival berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemuzik tempatan serta merancakkan perkembangan industri kreatif di Sandakan dan kawasan Pantai Timur Sabah.
