KUALA LUMPUR: Polis mengesyaki sindiket penyeludupan 521 kilogram dadah jenis syabu menggunakan jet peribadi dari Laos ke Filipina yang ditahan pada 1 Oktober lalu didalangi warga Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu berdasarkan tempahan jet peribadi berkenaan yang dibuat seminggu sebelum kejadian.
“Dalam insiden di Laos itu, perkhidmatan jet berkenaan telah ditempah seminggu sebelum kejadian itu, pada 23 September oleh seorang individu daripada Filipina.
“Jadi suatu tempahan itu yang menawarkan, yang menggunakan bayaran sebanyak $US49,500 untuk membawa barang-barang yang dikatakan sebagai vape daripada Laos ke Manila, Filipina
“Ini semua tertera dalam manifest yang kita dapati di Lapangan Terbang Subang dan juga dari pihak berkuasa di Laos. Jadi kita percaya, daripada siasatan awal ini setelah kita mendapat maklumat daripada pemilik syarikat penerbangan ini, perkhidmatan ini telah digunakan untuk bagi tujuan menyeludup dadah daripada Laos,” jelasnya.
Hussein berkata, JSJN turut berkongsi maklumat terbaharu itu dengan pihak berkuasa Laos dan Filipina bagi mengesan individu berkenaan.
Beliau berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan bukan dibawa dari Malaysia, sebaliknya dimuat naik di Laos untuk diterbangkan ke Filipina.
“Suka saya ingatkan, Laos ini ‘Golden Triangle’, jadi dadah itu berasal dari situ, bukan sebaliknya dari sini dibawa ke sana.
“Ia tidak logik dadah dibawa dari sini ke sana, kita bukan negara pengeluar tapi negara transit. Kita masih lagi siasat adakah mana mana pemilik syarikat terlibat dalam sindiket atau mereka juga telah diugunakan oleh sindiket.
“Kita masih lagi siasat mereka buat tempahan ini, kita percaya warga Filipina dan kita telah berkongsi dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengesan individu ini. Buat masa sekarang kita percaya dari Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hussein berkata, setakat ini, empat individu warga tempatan, termasuk pemilik jet peribadi berkenaan, dipanggil untuk membantu siasatan.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos menahan 13 individu, termasuk seorang pembantu juruterbang warga Malaysia, selepas pesawat berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.
Pemeriksaan terhadap pesawat itu kemudian menemukan 23 beg berisi dadah jenis syabu seberat 521 kilogram.
Jet peribadi berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju ke Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.
Pesawat itu kemudian dipercayai digunakan dalam cubaan membawa penghantaran dadah dalam jumlah besar dari Laos ke Filipina.
Sumber- Buletintv3
