TUARAN: Penubuhan Muzium Mini Hakka di Tuaran bakal memperkukuh usaha memelihara warisan sejarah dan kebudayaan masyarakat Hakka, selain menjadi pusat rujukan bagi generasi akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, muzium itu berpotensi menghimpunkan pelbagai khazanah warisan masyarakat Hakka, termasuk rakaman bahasa, sejarah, busana tradisional tarian unicorn, resipi warisan serta kisah di sebalik hidangan tradisional masyarakat berkenaan.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, pada majlis perasmian bangunan baharu Persatuan Hakka Daerah Tuaran dan Muzium Mini Hakka di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, penubuhan muzium itu bukan sekadar bertujuan memelihara peninggalan sejarah, malah menjadi penghubung antara warisan silam dengan aspirasi masa depan melalui pendedahan kepada generasi muda dan pengunjung.
Katanya, inisiatif itu juga membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghargai sumbangan komuniti Hakka dalam pembentukan sejarah serta identiti Sabah.
Beliau berkata, masyarakat Hakka yang mula bertapak di Sabah seawal 1883 turut memainkan peranan penting dalam membentuk landskap sosioekonomi, memperkaya warisan budaya serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap Persatuan Hakka Daerah Tuaran terus memperkasa aktiviti kebudayaan, memberi perhatian kepada pembangunan generasi muda dan memperluas program kemasyarakatan.
Hajiji berkata, pertubuhan masyarakat seperti persatuan berkenaan turut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti daripada pelbagai latar belakang, sekali gus mengukuhkan persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“Sesungguhnya, kepelbagaian budaya merupakan kekayaan yang harus kita pelihara, manakala perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan yang mesti terus kita pertahankan demi masa depan Sabah yang aman, harmoni dan makmur,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pertubuhan masyarakat, pihak swasta dan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan masyarakat terus dilaksanakan.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Persatuan Hakka Daerah Tuaran atas pembukaan Muzium Mini Hakka yang dijangka menjadi satu lagi tarikan pelancongan di daerah itu.-Dakwat Rakyat Post
