SEMPORNA: Lelaki warga asing yang menceroboh bilik penginapan pelancong wanita warga China di sebuah resort di sini, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Semporna, 7 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tertuduh dikenali sebagai Amir Kahal itu didapati melakukan kesalahan menceroboh bilik penginapan bernombor 207 di Seawind Cloudcrest Resort, Jalan Kemiri, kira-kira jam 3 pagi pada 19 September lalu.
Beliau berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman penjara.
“Bagaimanapun, siasatan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan masih berjalan dan kini menunggu laporan kimia disiapkan.
“Selepas laporan berkenaan diperoleh, pihak polis akan mendapatkan arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung tindakan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tan berkata, tertuduh turut dijadualkan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 November ini kerana disyaki memasuki atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pekerja asing tanpa permit sah.
Katanya, tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pemilik, penyewa, penghuni atau individu yang menjaga dan mengawal premis sekiranya membenarkan warga asing tanpa dokumen sah tinggal atau berada di premis berkenaan.
“Orang ramai, khususnya majikan dan pemilik premis, diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak melindungi atau membenarkan kehadiran PATI secara tidak sah.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kehadiran PATI tanpa dokumen sah diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-Dakwat Rakyat Post
