KOTA BELUD: Dua lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menghasilkan kira-kira 14 kad Pemastautin Tetap (MyPR) palsu yang dikaitkan dengan beberapa daerah di Sabah.
Kedua-dua suspek berusia 33 dan 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan, hari ini, susulan laporan seorang wanita yang mendakwa mengalami kerugian RM6,000 selepas membayar bagi menguruskan permohonan MyPR.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan penghasilan kad MyPR palsu bagi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabalu.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan berkenaan, termasuk sebuah kereta, kad pengenalan, kad MyPR, telefon bimbit, komputer riba, cop serta peralatan dan dokumen lain.
“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat mangsa lain yang turut diperdaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Khairul Shah menasihatkan orang ramai supaya berurusan terus dengan jabatan kerajaan berkaitan bagi sebarang permohonan dokumen rasmi, termasuk MyPR.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai individu yang menawarkan khidmat pengurusan dokumen rasmi melalui saluran meragukan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.-Dakwat Rakyat Post
