KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri atau dikenali sebagai ginsok di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, Sabtu lalu.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira jam 2.35 petang, 10 Oktober lalu, sebelum disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada di pondok berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak ketika satu das tembakan dilepaskan.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, semalam mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tembakan di kepala.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti bagaimana senjata berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga mengakibatkan kejadian itu.
“Pemeriksaan forensik dan balistik turut dijalankan bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Erwansyah berkata, polis turut menyiasat aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan berlaku pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan, selain Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan, jagaan atau kawalan senjata tanpa lesen atau permit sah.
Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak memiliki senjata api tanpa kebenaran sah, manakala pemilik senjata berlesen perlu memastikan senjata disimpan di tempat selamat dan berkunci.
Orang ramai turut diminta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.-Dakwat Rakyat Post
