KUCHING: Sarawak melihat potensi meneroka lebih banyak telaga minyak daratan di sekitar Adong Kechil West, dekat Marudi, susulan pengeluaran semasa sebanyak 800 tong sehari daripada sebuah telaga yang dianggarkan menjana nilai RM96 juta setahun berdasarkan harga minyak semasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan berkenaan berpotensi menyumbang lebih banyak pengeluaran minyak daratan kepada negeri ini.
“Pengeluaran minyak di Adong Kechil West dekat Marudi ialah 800 tong sehari bersamaan RM8 juta sebulan berdasarkan harga sekarang iaitu bersamaan RM96 juta setahun, hanya daripada satu telaga.
“Kita sebenarnya mempunyai banyak lagi telaga berpotensi di kawasan tersebut,” katanya ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dijangka membangunkan sebuah lagi telaga pada pertengahan tahun depan bagi membekalkan gas kepada Stesen Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri.
Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak berkata, PETROS turut merancang untuk menggerudi telaga penerokaan di Kuala Baram yang mempunyai potensi menggalakkan bagi pengeluaran gas.
“Pada masa ini PETROS sedang membangunkan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer untuk menyalurkan gas dari Kidurong ke Zon Perindustrian Samalaju dekat Bintulu.
“Kawasan Samalaju akan mendapat bekalan gas apabila projek ini siap pada penghujung tahun ini,” katanya lagi.
Menurut beliau, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak membolehkan sumber minyak dan gas negeri disalurkan dari pusat pengeluaran di Bintulu ke kawasan lain bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih menyeluruh.
Sarawak turut memperkukuh infrastruktur tenaga menerusi pembangunan terminal gas asli cecair (LNG) di Tanjung Embang sebagai sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching, susulan perjanjian antara PETROS dengan rakan kongsi berpangkalan di Oslo, Norway, Höegh Evi.
Selain itu, kelebihan tenaga boleh baharu, khususnya tenaga hidro, terus dimanfaatkan bagi menarik pelaburan dalam industri yang memerlukan bekalan tenaga bersih dalam jumlah besar pada harga kompetitif.
Kredit sumber: TV Sarawak/Disiarkan pada 10 Oktober 2026
