KENINGAU: Polis menahan seorang pekebun kelapa sawit berusia 50 tahun selepas menemui 42 laras senapang angin dan ratusan kotak peluru yang dipercayai untuk kegiatan penjualan tanpa lesen di Kampung Sook, di sini, semalam.
Rampasan menerusi Op Laras itu turut merangkumi 456 kotak kecil peluru serta lima beg senjata bercorak celoreng dalam serbuan di sebuah pondok yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan senjata.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Keningau.
Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, suspek ditahan selepas gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi pemilikan senapang angin yang ditemukan.
Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai turut menjalankan kegiatan menjual senapang angin dan peluru di sekitar Keningau.
Erwansyah berkata, senapang angin berkenaan dipercayai dijual pada harga antara RM350 hingga RM500 seunit, manakala peluru dijual antara RM30 hingga RM50 bagi setiap pek yang mengandungi 10 kotak kecil.
Polis kini menyiasat sumber bekalan senjata itu, termasuk kemungkinan wujud rangkaian pembekalan dari luar negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen.
Polis turut meneliti kemungkinan pemakaian Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 berkaitan kesalahan berdagang senjata api, tertakluk kepada pengesahan pakar terhadap barang rampasan dan penelitian pihak pendakwaan.
Erwansyah berkata, polis memandang serius kegiatan pemilikan dan penjualan senjata tanpa lesen yang boleh mengancam keselamatan awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.-Dakwat Rakyat Post
