KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah bangunan di Taman Nelly Fasa 8A, Jalan Nountun, di sini, malam tadi sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.58 malam menerusi talian NG999.
Beliau berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.03 malam dan mendapati pintu sudah berjaya dibuka oleh orang awam sebelum ketibaan anggota.
“Pemeriksaan kemudian mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Sherriyana berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi turut dibantu enam anggota polis dan tiga anggota KKM.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja mengeluarkan dan menurunkan mangsa dari tingkat lima bangunan berkenaan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.16 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada bahaya lain dikesan di lokasi,” katanya. -Dakwat Rakyat Post
