LAHAD DATU: Golongan pendidik, pelajar dan penggiat industri berpeluang mengetengahkan kreativiti, idea serta hasil inovasi masing-masing menerusi program Borneo National TVET Innovation & Career Convergence 2026 (BOR-NEO 26) yang bakal berlangsung di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD).
Pengarah BOR-NEO 2026, Ts Nor Abdi Jaumi berkata, program itu bertujuan menyediakan platform kepada peserta untuk mengetengahkan idea, hasil penyelidikan dan amalan terbaik yang mampu memberi manfaat kepada sektor pendidikan, industri serta masyarakat.
Menurutnya, BOR-NEO 26 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi ruang untuk peserta berkongsi idea dan membuktikan potensi besar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menghasilkan penyelesaian kreatif yang memenuhi keperluan semasa.
“BOR-NEO 26 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform untuk peserta berkongsi idea, mengetengahkan hasil inovasi dan membuktikan bahawa bidang TVET mempunyai potensi besar dalam melahirkan penyelesaian kreatif yang memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Program itu menawarkan empat kategori pertandingan, iaitu Inovasi, Kajian Tindakan, Amalan Terbaik dan Video Pendek.
Penyertaan dibuka sehingga 31 Oktober ini, manakala pengumuman finalis dijadualkan pada 3 November. Acara kemuncak BOR-NEO 26 pula akan berlangsung pada 30 November ini di Dewan Palma, Kolej Vokasional Lahad Datu.
Nor Abdi berkata, penganjuran program itu turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan pengiktirafan terhadap usaha dan kreativiti mereka menerusi hadiah wang tunai, trofi, plak serta sijil berdasarkan kategori dan pencapaian masing-masing.
Beliau berharap penyertaan daripada pelbagai latar belakang dapat memupuk budaya inovasi, menggalakkan perkongsian ilmu serta membuka ruang kerjasama yang memberi impak positif kepada pembangunan TVET.
“Penyertaan ini diharap bukan sahaja menjadi peluang untuk peserta bersaing, tetapi turut membantu mereka membina keyakinan, memperluas jaringan profesional dan berkongsi amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti TVET serta industri,” katanya.
Dalam pada itu, warga KVLD turut diberi tawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi yuran penyertaan untuk kesemua empat kategori pertandingan.
Orang ramai, khususnya golongan pendidik, pelajar dan penggiat industri, digalakkan mengambil peluang menyertai BOR-NEO 26 bagi mengetengahkan idea serta inovasi yang berpotensi menyumbang kepada kemajuan pendidikan TVET dan pembangunan industri.-DAKWAT RAKYAT POST
