KUALA LUMPUR: Lebih 10 isu berkaitan kepentingan rakyat Sipitang dibangkitkan Ahli Parlimennya, Datuk Matbali Musah, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, kelmarin.
Dalam ucapan selama 20 minit itu, Matbali menumpukan perhatian kepada pelbagai masalah yang sekian lama dihadapi penduduk, termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik, pendidikan, kesihatan serta pembangunan ekonomi setempat.
Beliau turut membangkitkan isu kemudahan asas, banjir, perumahan dan peluang ekonomi untuk peniaga kecil, sambil menggesa kerajaan memberikan perhatian serius serta mempercepatkan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.
Antara isu utama yang diketengahkan ialah keperluan menaik taraf Jalan Mendulong–Meligan–Long Pasia yang menurutnya telah dibangkitkan sejak empat tahun lalu, termasuk oleh penyandang Ahli Parlimen Sipitang terdahulu.
“Bertahun-tahun suara ini bergema, bertukar wakil rakyat, beralih kerajaan demi kerajaan, namun persoalannya masih sama.
“Bilakah jalan ini akan dinaik taraf? Sampai bilakah penduduk pedalaman harus menunggu?” katanya.
Matbali berkata, projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban–Mendulong–Meligan sepanjang kira-kira 40 kilometer perlu dipercepatkan, manakala cadangan menaik taraf Jalan Meligan–Long Pasia sepanjang kira-kira 42 kilometer perlu diberikan perhatian serius bagi meningkatkan akses ke kawasan pedalaman.
Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan status terkini kemajuan projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Sindumin–Melalia–Beaufort.
Selain itu, beliau membangkitkan kelewatan pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Mentulud 1 dan Mentulud 2 di Beaufort yang menurutnya masih belum dimulakan.
Katanya, ketika isu itu dibangkitkan pada November 2024, jawapan bertulis yang diterima memaklumkan projek berkenaan masih berada pada peringkat prakelulusan.
Justeru, beliau meminta penjelasan mengenai punca kelewatan serta langkah yang akan diambil bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
7,319 penduduk masih belum menikmati bekalan air bersih
Dalam isu bekalan air, Matbali mendedahkan seramai 7,319 penduduk daripada 1,219 rumah di 21 kampung di Sipitang masih belum menikmati bekalan air bersih.
Beliau berkata, masalah itu termasuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) membabitkan Projek Rawatan Air Kampung Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor Sungai Tiga di Sipitang yang pernah dibangkitkannya ketika perbahasan Belanjawan 2025, namun menurutnya masih belum menunjukkan penyelesaian.
Beliau turut mengimbas isu jalan raya yang pernah dibangkitkan sebelum ini, termasuk Jalan Kampung Mendulong–Meligan dan Jalan Bangkalalak–Mentulud.
“Jawapan yang diberikan pada masa itu melegakan kami, tetapi setelah dua tahun berlalu, apa yang boleh saya katakan, ia umpama menanam tebu di tepi bibir,” katanya.
Ribuan penduduk pedalaman berdepan masalah elektrik
Mengenai bekalan elektrik, Matbali berkata ribuan penduduk di kawasan pedalaman Sipitang masih berhadapan masalah akses kepada bekalan tenaga.
Beliau mengambil contoh Mukim Malamam yang mempunyai enam kampung dengan keseluruhan 2,073 penduduk daripada 287 rumah, yang masih menantikan penyelesaian terhadap keperluan bekalan elektrik.
Beliau turut membangkitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan sistem solar hibrid yang dilaksanakan di beberapa kampung pedalaman Sipitang.
Menurutnya, projek berkenaan dilaporkan terbengkalai sejak 2019, menyebabkan penduduk terpaksa bergantung pada lampu solar dan set janakuasa sebagai sumber tenaga alternatif.
Matbali, yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM), berharap isu-isu yang dibangkitkan itu mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan supaya pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, khususnya oleh penduduk di kawasan pedalaman.-DAKWAT RAKYAT POST
