LAHAD DATU: Kajian dan pemerhatian terhadap individu autisme membantu barisan pelakon filem komedi romantik terbitan Sabah, Mr Finance, menghayati watak masing-masing dengan lebih berkesan, sekali gus membawa mesej kesedaran dan penerimaan terhadap golongan berkenaan.
Salah seorang pelakonnya, Vella Syah yang membawakan watak Dani, seorang individu autisme tahap ringan, berkata peranan itu merupakan pengalaman kedua beliau membawa watak seumpama itu selepas membintangi filem Terjebak.
Menurutnya, persediaan sebelum penggambaran melibatkan kajian mengenai autisme bagi memahami tingkah laku serta ciri-ciri yang bersesuaian dengan watak Dani.
“Sebelum penggambaran, kami membuat kajian mengenai autisme dan saya membawakan watak Dani yang digambarkan mempunyai autisme tahap ringan,” katanya.
Vella Syah berkata, pemerhatian terhadap individu dalam spektrum autisme serta pemahaman terhadap visi pengarah turut membantunya membentuk watak berkenaan.
Malah, beberapa ciri watak Dani masih terbawa-bawa selepas penggambaran selesai dan kadangkala muncul tanpa disedarinya.
“Kadangkala watak Dani itu masih muncul tanpa saya sedari, tetapi pengarah saya dapat melihatnya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelakon, Trespar Pita, yang pernah membintangi filem Swang dan Terjebak, berkata Mr Finance merupakan pengalaman pertamanya berlakon dalam filem yang ditayangkan di pawagam.
Beliau turut mempunyai pengalaman berlakon dalam telefilem, termasuk Tagal, selain terlibat dalam beberapa produksi lain.
Di sebalik persembahan para pelakon, filem berkenaan turut membawa mesej bahawa setiap individu berhak menerima kasih sayang, penerimaan dan pemahaman tanpa mengira perbezaan cara mereka berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang lain.
Barisan pelakon berharap kisah yang menggabungkan elemen komedi dan romantik itu dapat mendorong ibu bapa memberikan pendidikan, bimbingan serta peluang yang bersesuaian kepada anak-anak autisme untuk mengembangkan potensi diri.
Sokongan keluarga dan peningkatan kesedaran masyarakat disifatkan penting bagi membantu individu dalam spektrum autisme menjalani kehidupan yang bermakna serta mengambil bahagian dalam masyarakat dengan lebih yakin.
Menerusi Mr Finance, penerbit filem berkenaan berusaha menggabungkan elemen hiburan dengan mesej keterangkuman, di samping mengetengahkan potensi industri perfileman tempatan Sabah.
Barisan pelakon dan pasukan produksi turut merakamkan penghargaan kepada Maxx Cinema Lahad Datu kerana membenarkan mereka menggunakan dewan VIP baharu pawagam itu untuk menonton filem berkenaan.
Sokongan tersebut disifatkan sebagai sumbangan bermakna kepada komuniti pembikin filem tempatan dan usaha memperkasa industri kreatif Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
