RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah perkampungan di daerah ini, awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil risikan berterusan serta maklumat yang disalurkan oleh masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud, berkata pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki syabu.
Suspek turut didapati mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mursalin merakamkan penghargaan kepada masyarakat daerah Ranau atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
Beliau menegaskan IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya, masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat awal yang boleh membantu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Hubungan erat antara komuniti dengan pihak berkuasa juga penting dalam memperkukuh keselamatan setempat dan memastikan langkah pencegahan jenayah dapat diambil dengan segera.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222.-DAKWAT RAKYAT POST
