LUMUT:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) dan sebuah kapal kargo asing dalam dua operasi berasingan di perairan Perak kerana disyaki melanggar undang-undang perikanan dan perkapalan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob, berkata penahanan pertama membabitkan sebuah VNT yang diperiksa kira-kira jam 9.55 pagi semalam, pada kedudukan kira-kira dua batu nautika barat laut muara Sungai Burung.
Menurutnya, vesel itu dikesan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga Malaysia berusia 56 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan selain gagal mempamerkan lesen vesel sebagaimana ditetapkan,” katanya.
Tekong berkenaan ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan turut dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian berasingan, sebuah kapal kargo asing jenis bulk carrier yang berdaftar di Panama ditahan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 23.4 batu nautika barat daya Tanjung Lumba-Lumba.
Kapal itu dikesan sekitar jam 4 petang, Selasa lalu, menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan kepada aset penguatkuasaan untuk menjalankan pemeriksaan.
Mohd Shukri berkata, pemeriksaan mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan negara.
Susulan itu, tiga kru kapal terdiri daripada seorang warga Rusia berusia 34 tahun serta dua warga Myanmar berusia 33 dan 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.
Dokumen berkaitan kapal turut disita untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan.
Menurut Mohd Shukri, kedua-dua tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan pemantauan berterusan Maritim Malaysia terhadap aktiviti di perairan negara, termasuk pematuhan undang-undang perikanan oleh vesel tempatan dan peraturan perkapalan yang melibatkan kapal asing.
“Setiap vesel yang beroperasi, memasuki atau berada di perairan Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh pemantauan menerusi rondaan aset dan sistem pengawasan bagi memastikan keselamatan pelayaran, ketertiban aktiviti maritim serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
