KOTA KINABALU: Kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Negeri Sabah kerana isu itu melibatkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan.
Ketua Merinyu Projek, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, berkata semua pihak yang terlibat perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing bagi memastikan usaha menyiapkan projek berkenaan dapat dipercepatkan.
Menurutnya, lebih 70 peratus daripada projek itu melibatkan kerja pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong, sekali gus memerlukan penyelarasan yang teliti.
Beliau berkata, kerja berkenaan bukan mudah kerana turut membabitkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti.
“Justeru, tidak adil jika Kerajaan Negeri Sabah dipersalahkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan berhubung isu kelewatan projek berkenaan.
Salleh berkata, antara faktor utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak, sekali gus memerlukan penelitian serta penyelarasan oleh perunding dan pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR).
Katanya, setiap perubahan reka bentuk juga berpotensi melibatkan pertambahan kos yang memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada KKR dan Kementerian Kewangan (MOF).
Menurutnya, proses kelulusan yang mengambil masa panjang turut memberi kesan terhadap kelancaran pelaksanaan projek.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya KKR dan MOF menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih pantas dan jelas, khususnya berkaitan Arahan Perubahan Kerja (VO) serta pelarasan had kewangan.
Beliau berkata, mekanisme berkenaan wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui perjanjian tambahan bagi mengelakkan kelewatan sama berulang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Salleh menegaskan bahawa pelaksanaan projek berkenaan memerlukan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti.
Katanya, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan mengelakkan budaya saling menyalahkan yang tidak membantu menyelesaikan masalah pelaksanaan projek.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan semua pihak ketika ini adalah mengurangkan kelewatan, mempercepatkan pelaksanaan dan memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan demi kepentingan rakyat negeri ini.-DAKWAT RAKYAT POST
