KOTA KINABALU: Pemandu treler berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian kontena menghempap sebuah kereta sehingga mengorbankan seorang bapa dan anak perempuannya di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anaknya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, maut selepas Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap kontena yang dipercayai hilang keseimbangan ketika kerja memunggah muatan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk menjalankan kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.
Menurutnya, pemandu treler terbabit sedang menaikkan kontena ke atas treler ketika Toyota Avanza yang dinaiki kedua-dua mangsa melalui lorong kanan menuju ke Pelabuhan Sepanggar.
“Bagaimanapun, kontena berkenaan secara tiba-tiba hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke sebelah kanan lalu menghempap kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa.
“Kedua-dua mangsa terhimpit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 9.55 malam,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Likas pada jam 9.58 malam.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.
Shahrudin berkata, pemandu treler berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon, menerusi talian 010-776 8802 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Dalam kejadian itu, operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dijalankan pasukan bomba dengan bantuan dua kren bagi mengalihkan kontena yang menghempap kereta berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
