RANAU: Beranda sebuah rumah penginapan di Kampung Gorowot, Sinisian, Kundasang, terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Selasa petang.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 4.08 petang sebelum menyalurkan maklumat kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau.
Seramai dua anggota bomba bersama sebuah jentera Vigo dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 4.23 petang.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Becket Gumat, berkata pemeriksaan awal mengesahkan berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan bahagian beranda rumah penginapan berkenaan.
Pasukan bomba turut menasihatkan penduduk sekitar supaya sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi perubahan keadaan cuaca, terutama ketika hujan.
Operasi dikawal pada jam 4.50 petang sebelum ditamatkan pada jam 5.14 petang selepas pemantauan dan pemeriksaan di lokasi selesai dijalankan.
JBPM Sabah memaklumkan pemantauan berterusan akan dilaksanakan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta keadaan persekitaran sentiasa terkawal.-DAKWAT RAKYAT POST
