TAWAU: Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah yang dilaporkan berlaku di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi apabila pengadu didatangi sekumpulan individu.
Menurutnya, mangsa mendakwa seorang wanita menarik rambutnya, manakala seorang lelaki yang tidak dikenalinya menumbuk bahagian tepi telinga kanan sehingga menyebabkan kesakitan.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung dakwaan mangsa menyiram seorang individu dengan air panas serta memukul anak individu berkenaan.
Mangsa turut mendakwa menerima ugutan untuk membakar rumah kongsi yang didiaminya.
Susulan laporan itu, sepasukan tiga anggota polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan tindakan pengesanan sebelum berjaya menahan dua wanita berusia kira-kira 47 dan 42 tahun serta seorang lelaki berusia kira-kira 45 tahun di perkarangan balai berkenaan.
Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan tindakan kekerasan dan ugutan yang boleh mengancam keselamatan pihak lain.
Sebarang perselisihan faham hendaklah diselesaikan secara aman menerusi saluran yang betul, manakala kejadian jenayah perlu dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
