KUALA LUMPUR: Seramai 17 individu terdiri daripada warga Malaysia, China, Myanmar, Thailand dan Indonesia ditahan dalam serbuan polis di sebuah premis di Jalan Duta Hartamas, Kuala Lumpur, pada 20 Oktober lalu, bagi menyiasat kegiatan penipuan berkaitan permainan judi dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Malaysia, 11 lelaki warga China, dua lelaki warga Myanmar, seorang wanita warga China, seorang wanita warga Thailand dan dua wanita warga Indonesia.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah komputer riba dan 13 telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit dipercayai bekerja untuk sindiket yang menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira dua bulan lalu dengan menyasarkan warga asing sebagai mangsa.
Permohonan reman terhadap kesemua tangkapan dikemukakan di hadapan majistret pada 21 Oktober lalu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi kesalahan menipu serta secara tidak jujur mendorong seseorang menyerahkan harta, manakala Seksyen 120B berkaitan kesalahan konspirasi jenayah.
Polis Kuala Lumpur menegaskan komitmen untuk terus membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-2115 999 atau IPD Sentul di talian 03-4048 2222, atau balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
